Ahad, Oktober 30, 2011

Sirah ‘anl Yaum Qurban ^^,

Melakukan korban dengan menyembelih binatang dan lain-lain kepada Allah SWT telah lama diamalkan. Sebagaimana maksud firman Allah SWT yang menceritakan tentang Habil dan Qabil iaitu putera Nabi Adam A.S dalam surah al-Maidah , "Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) daripada yang lain (Qabil)..."

Persembahan korban juga berlaku di kalangan orang Yahudi, sebagaimana diceritakan dalam al-Quran [ Ali-Imran:183] yang bermaksud, "Orang (Yahudi) mengatakan "Sesungguhnya Allah SWT telah perintahkan kami, supaya jangan beriman kepada seorang Rasul sehingga dia membawa kepada kami korban yang dimakan api".

Perbuatan menyembahkan korban kekal menjadi amalan orang Yahudi untuk mereka jadikan sebagai bukti kebenaran mana-mana nabi yang diutus kepada mereka, sehinggalah ia dimansuhkan oleh nabi Isa A.S.

Al-Quran menceritakan kisah pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S kepada anaknya Nabi Ismail A.S dalam memenuhi perintah Allah SWT supaya menyembelih putera kesayangannya itu untuk dijadikan korban. Daripada surah as-Saffat ayat 102 yang bermaksud, "...Nabi Ibrahim berkata, Wahai anakku, Sesungguhnya aku bermimpi aku menyembelihmu, maka fikirkanlah bagaimana pendapatmu?" Anaknya(Ismail) menjawab, "Wahai ayahku, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, InsyaAllah ayah akan mendapatiku termasuk orang yang sabar."

Ayat di atas juga menjelaskan bahawa Nabi Ismail adalah seorang yang taat kepada perintah Allah SWT. Ketika berlakunya penyembelihan, Allah SWT menunjukkan kekuasaan-Nya bahawa yang disembelih adalah seekor kibas bukannya leher Nabi Ismail A.S.

Sementara itu sebuah hadith Rasulullah SAW yang bermaksud, "Daripada Zaid bin Arqam, dia berkata:Para sahabat Rasulullah SAW bertanya: "Wahai Rasulullah SAW, apakah Udhhiyah (Qurban) itu? Jawab Rasulullah SAW, "Ia adalah sunnah bapa kamu, Ibrahim. Mereka berkata:"Apa yang akan kami perolehi daripadanya wahai Rasulullah SAW? Rasulullah SAW menjawab:"Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya." Mereka berkata, "Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah SAW? Rasulullah SAW menjawab, "Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya." (Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Nabi Muhammad SAW meneruskan ibadah korban ini setiap tahun pada Hari Raya Aidil Adha dan hari-hari Tasyrik.

Firman Allah SWT dalam surah al-Kauthsar ayat 1-3 yang bermaksud, "...kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur).."

Begitu juga dengan hadith yang telah diriwayatkan oleh Anas RA yang bermaksud, "Nabi SAW berkorban dengan dua ekor kibas (biri-biri putih) yang bertanduk. Baginda menyembelih keduanya dengan tangan baginda sendiri sambil membaca Basmalah dan bertakbir dan Baginda meletakkan (menginjakkan) kakinya di pangkal leher biri-biri itu."(H.S Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sejarah asal usul Qurban

1.Korban Zaman Nabi Adam A.S (Al-Maidah : 27- 31)
2. Korban Zaman Nabi Nuh A.S
3. Korban Zaman Nabi Daud dan Sulaiman A.S
4. Korban Zaman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail A.S
5. Korban Zaman Nabi Musa A.S
6. Korban Bangsa Yunani dan Rom
7. Korban Abdul Mutalib datuk Rasulullah S.A.W


Daripada Imran bin Husain, Rasulullah SAW bersabda;
“Bangunlah menuju tempat binatang korbanmu dan saksikanlah, kerana ia akan menyebabkan dosamu terampun bagi setiap titisan darah yang tumpah, bagi setiap satu dosa yang pernah engkau lakukan…” (Hadis riwayat Al-Hakim, Al-Baihaqiy dan At-Tabraniy)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan